Kenapa Saya Menulis?
Jika kalian berkata bahawa seseorang patut menulis kerana dia tahu, maka saat ini juga saya akan berhenti. Saya tidak akan menulis lagi.
Saya menulis untuk berkongsi. Ilmu saya jauh daripada memberi kefahaman apa lagi menyentuh hati pada kebenaran. Saya menulis kerana saya mahu mencatat janji. Bahawa ini dan ini sudah saya kata, maka wajiblah saya laksanakan.
Sungguh-sungguh saya takut untuk menulis. Apabila saya membaca tulisan Hamka, tulisan Pramoedya, alangkah kecilnya diri. Alangkah sedikitnya ilmu, alangkah terhadnya bahasa.
Saya tidak mampu menyentuh bahkan hati saya sendiri. Tulisan saya banyak kalinya indah yang kosong. Semacam tabung masjid. Nampak baik, nampak mulia, tetapi tak mendorong sesiapa.
Tulisan saya untuk membumikan ilmu. Saya mahu ilmu itu jadi benih yang subur. Jika pun saya ini tak mahu memanfaatkannya, kalianlah bakal merasa hasilnya. Tulisan ini bukan untuk melangitkan diri. Tempat manusia adalah khalifah di muka bumi. Dia tiada tugas di langit.
Saya menulis untuk jadi manusia. Untuk melihat lebih jauh, merenung lebih dalam dan berfikir lebih teliti. Supaya kata-kata itu lebih diatur, lebih difahami dan lebih diyakini. Supaya saya sedar apa yang saya rasa.
Yang tersurat payah diubah. Yang terlafaz mudah dihelah. Tulisan lambang kesimpulan diri. Yang ini semua telah ditimbang-tara. Telah diputuskan.
Maka tulisan tidak wajar dicatat waktu emosi kemuncak; kerana ia lambang keabadian.
Ia bukan untuk waktu gopoh; kerana ia simbol pendirian.